Permulaan sebuah jilid yang baru. Telah lama ingin aku perbaharui laman Doodle Junk ini. Kesibukan dunia – hiburan dan kerjaya, teguh mengheretku jauh. Kesempatan di bulan yang mulia ini, mendoakan keberkatan dan kemurahan rezeki, mohon di makbulkan. Harus aku kuatkan niat asalku agar tidak terpesong dan kelak bongkak serta angkuh akan kurniaan kesenangan.

Jujur aku suarakan, sesungguhnya tidaklah fasih untukku berkarang. Hingga pada tulisan ini, berkeringat juga mencari kata.

Ingin aku dahului pandanganku pada seni.
Ku lihat seni itu juga suatu sastera.

Seni juga adakalanya suatu kiasan. Menyuarakan keinginan, kehidupan dan nilai tertentu. Berasaskan warna, bentuk, garisan, lengkuk mengukir kelembutan sesuatu tarian, keasyikkan bunyi-bunyian, kehalusan halusinasi, keunikkan warisan sulaman... Memberi kepuasan sementara dunia.

Seni itu pelbagai – kacukan mahupun asli.

Menjadi suatu tarikan dan lirikan menatap karya baharu tercetus dari benak fikiran manusia. Kagum dengan minda yang mampu membentang seribu kemungkinan. Usaha bagi menghadam isi tersirat pada yang melihat.

Ingin aku akhiri pandanganku pada seni.

Sekian.